SUSAH ITU NIKMAT

>> 30 Mac 2010

Kadang-kadang aku lebih suka menyepi dari bercakap. Bila aku menyepi, biasanya sahabat-sahabat akan kata aku ada masalah, tension, tidak sihat dah sebagainya. Sebabnya aku seorang yang banyak cakap. Betulhkah? Biarlah apa yang mereka mahu kata. Tetapi aku tetap masih seperti biasa. Tiada apa-apa masalah yang berlaku. Cuma bila menyepi akan ada beberapa perkara yang difikirkan. Sama ada tentang sahabat-sahabat, keluarga tercinta, cita-cita dan masa depan. Semuanya tersirat tanpa diluahkan. Banyak yang tersimpan, maka banyak jugalah yang hendak diluahkan.

Teringat seketika cerita-cerita sewaktu ayahku berusia belasan tahun. Allahyarham datukku meninggal ketika ayahku berusia 12tahun. Oleh kerana ayahku anak sulung, jadi dialah yang menggantikan tanggungjawab sebagai ayah kepada adik-adiknya. 3orang adiknya, 2orang lelaki dan seorang perempuan.

Dia terpaksa menamatkan pengajian untuk bersama ibunya bekerja mencari sedikit rezki bagi memastikan adik-adiknya dapat meneruskan pengajian seperti sahabat-sahabat lain. Dikatakan mereka lah bergelar “orang kaya” ketika itu. Kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Menoreh getah diwaktu pagi dan mengetam padi di waktu petang. Dengan pendapatan hanya berapa sen ketika itu. Zaman 60-an.

Semakin berusia semakin maju. Adik-adik semakin besar. Pakngah (no-2) tidak dapat meneruskan pengajian di pondok. Sebab ketika itu pakngah meminta wang dari nenek untuk membeli kitab-kitab pembelajaran di pondok. Namun kewangan yang terbatas menyebabkan nenek tidak menunaikan apa yang diminta. Ketika itu pakngah di tahun 3. Bila duit dah dikumpulkan sudah 3bulan pembelajaran bermula. Pakngah merajuk. Tidak mahu menerima wang itu.

“Orang lain dah ngaji banyak. Cek dah kena tinggal banyak. Orang dah belajaq sampai mana dah” Rajuk pakngah pada nenek.

Hanya linangan air mata yang mengalir di pipi nenek. Tidak dapat berbuat apa-apa dek kerana kehidupan yang serba kekurangan. Tamat riwayat hidup pakngah dalam perjuangan ilmu. Tidak dapat mencapai matlamat ingin menjadi seorang ulama.

Pakjang (no-3) lain pula ragamnya. Ayah dan pakngah sudah bekerja membantu keluarga. Tenaga yang bertambah mengurangkan sedikit kedaifan yang ada. Segala apa yang diperlukan semuanya dipenuhi. Namun kekurangan yang allah kurniakan tiada siapa yang meminta. Sudah 3tahun di pondok. Namun tidak dapat naik diperingkat seterusnya. Masih di kelas yang pertama. Malu pada kawan-kawan. Juga tidak berjaya menjadi ulama. Berhenti separuh jalan.

Maksu, anak ke-4 merupakan adik yang bongsu dari 7orang pada asalnya namun 3orang lagi allah lebih menyayangi mereka. Mereka pergi dahulu sebelum adik-adik dan abang-abang. Juga dibentuk di pondok agar menjadi pejuang agama Allah. Namun ketika umurnya 14tahun disunting oleh jejaka yang bergelar paksuku ketika ini. Nenek menerima lamaran tersebut kerana mungkin itu yang terbaik untuknya. Tiada yang berjaya mencapai cita-cita menjadi ulama.

Ayah menamatkan zaman bujang pada usia sama sepertiku ketika ini. 23tahun. Beza dengan mak 5tahun. Mak 18tahun ketika itu. Mengayuh basikal berjam-jam dari Baling untuk sampai ke rumah mak yang terletak di Kulim. Susahnya hidup zaman dahulu. Jalan tanah merah dan meredah hutan itu satu kebiasaan bagi mereka yang hidup di zaman itu.

Ayah mengumpul duit RM250, untuk membuka perniagaan. Membeli dan menjual getah beku secara kecil-kecilan. Berniaga secara amanah dan jujur akan menjadikan rezki menjadi berkat. Itu kunci kehidupan yang ayah selalu sebut pada abang-abangku. Kehidupan bertambah senang sedikit demi sedikit.  Masyarakat sudah berubah persepsi.

Kalau dahulu kata nenek, orang kampung memandang mereka sebelah mata. Keluarga miskin, tanpa suami dan anak-anak yang masih kecil. Namun ketabahan yang ada dalam meneruskan hidup, nenek tidak pernah meminta-minta pada sesiapa pun. Makan apa yanga ada. Erti syukur dalam kehidupan. Tidak perlu memilih. Tidak perlu mengeluh. Bersyukur dengan apa yang ada.

Aku sudah berusia 7 tahun. Hujung minggu ikut mak pergi kebun getah, mengutip getah beku untuk dijual. Setiap kali dijual, aku gembira kerana mak akan kurniakan aku RM1. Sebulan sudah dapat kumpul RM4. Bila ada jualan buku di sekolah aku boleh beli buku apa yang aku suka. Tanpa minta duit dari mak dan ayah. Aku sayang duit aku. Bila dah naik umur 8 tahun, mak sudah naikkan gaji aku. RM3 setiap kali kutip getah beku. Aku selalu berlumba dengan kakak. Siapa yang kutip banyak dia akan dapat lebih. Pandai mak perangkap kami. Ketika umur 11 tahun baru gaji naik RM5. Banyak bagi aku ketika itu.

Aku juga kagum pernah bekerja seperti nabi. Gembala kambing. Banyak kambing yang aku gembala. Asar aku lepas keluar kandang untuk diberi makan rumput. Sebelum maghrib masukkan semula dalam kandang. Setiap ekor yang dijual ayah akan bagi RM30 pada aku. Seronoknya pegang duit sebanyak itu di waktu kecil. Sebulan sekali ayah bawa pergi tabung haji. Duit disimpan. Selalu berlumba dengan kakak duit siapa paling banyak.

HANGER, TALI PINGGANG  ITU SATU TARBIAH

Tarbiah seorang ibu yang sayangkan anaknya. Itulah santapan aku dan kakak ketika malas menjagi al-quran dan ketika kami bergaduh. Setiap malam boleh dikatakan tidak sah kalau tidak dipukul. Salah sebut huruf, baca tanpa dengung di tempat yang dengung, perbezaan sa dengan sin. Semuanya diambil kira. Sesekali tersenyum bila mengimbau kenangan lama. Kami akan dipikul antara dua benda tersebut. Mana dahulu yang dicapai itulah yang digunakan untuk mentarbiah kami. Kebiasaannya aku yang kena paling banyak sebab aku lelaki.

Majoriti anak-anak  yang mendapat tarbiah dari tali pinggang dan hanger  dapat membaca al-quran dengan baik sejak berusia 8tahun. Cubitan mak yang sekali cubit meninggalkan kesan beberapa hari menyebabkan kami semua takut untuk malas mengaji.

Mak tidak pernah manjakan kami. Pergi sekolah bawak bekal nasi berlaukkan ikan masin, telur, ikan tamban dan sebaginya. Lebih jimat dari beli di kantin. Mak hanya bekalkan 80sen. 40sen untuk tambang, 10sen beli air ketika rehat setelah penat bermain dan bakinya kami akan masuk tabung. Kami sayang duit. Mak juga sayang duit. Sebab susah untuk dapatkan duit. Mak tidak pernah beli mainan. Kalau mainan biasanya ayah yang beli. Itu pun jarang-jarang. Kalau aku beli mainan, mak tidak akan ajak aku makan bersama ketika waktu makan.

“mamad mana, makan dakgi” Tanya kakak dan ayah. Kehidupan bersama 2orang abang agak kurang sebab mereka tinggal di asrama.
“tak payah ajak. Dia makan mainan pun dah kenyang” marah mak.

Kalau situasi ini berlaku biasanya aku tidak berani makan. Lepas semua dah habis makan aku akan senyap-senyap ke dapur. Kalau masih ada baki, itulah rezkiku. Kalau tiada, maka puasa lah aku seharian jawabnya. Lepas itu masuk bilik nangis sorang-sorang.

NIKMAT HIDUP SUSAH

Kebiasaan hidup begini menjadikan aku biasa dengan apa juga keadaan. Tidak melatah dengan setiap kesusahan yang datang. Aku bersyukur berpeluang hidup sebegini. Mengajarku erti tabah, kuat dan bersyukur dengan apa yang ada.
Teringat aku ketika program bakti huffaz semasa menuntut di Darul Quran dahulu. Program anak angkat di Felda Gua Musang. Seminggu berkampung ditempat orang. Kadang-kadang ikut mak angkat ke kebun. Banyak nyamuk. Teringat waktu kecil dahulu. Namun sudah biasa. Tiada masalah. Pacat. Sudah biasa. Aku orang kampung. Seronok jadi orang kampung.

Melihat gelagat seorang sahabat yang berasal dari golongan  yang selesa menyebabkan mereka tidak dapat biasakan diri. Makan kena yang sedap-sedap. Bilik kena ada kipas. Ubat nyamuk wajib pasang walaupun nyamuk hanya seekor  ketika tidur diwaktu malam.

KURNIAAN YANG PERLU DISYUKURI

Kehidupan kini berubah. Hidup kami agak sedikit senang walaupun tidaklah sesenang orang lain. Tetapi cukup untuk beli apa yang diingini. Orang kampung sudah tidak pandang serong lagi. Malam kini ayah menjadi seperti bank pula. Ayah tidak pernah kedekut. Dia masih ingat asal-usulnya. Juga dari golongan yang susah. Bersedia membantu pada siapa yang memerlukan selagi punyai kemampuan.

Namun ayah kadang-kadang melahirkan rasa sedih. Ada yang suka meminjam. Tetapi tidak suka membayar semula. Ayah tidak pernah meminta. Namun semuanya tercatat siapa yang meminjam. Seperti mana yang allah tegaskan dalam surah al-baqarah ayat 282 bagi peminjam dan pemberi pinjam untuk mencatat.

Ayah pernah kata, kalau semua orang bayar, ayah kena keluarkan zakat simpanan tidak kurang rm####.##. Namun ayah hanya menyepi. Ada yang sudah bercucu dan sebagainya.

SYUKUR PADAMU TUHAN

Cukup aku ditarbiah dengan kesusahan hidup suatu ketika dulu. Jadi mungkin satu keadilan seandainya ayah dikurniakan sedikit kesenangan untuk dikongsi bersama anak-anak. Namun semua itu tidak sedikit pun melupakan aku pada kehidupan dalam kesusahan. Aku masih boleh tenang  andai diuji dengan kesusahan. Syukur padaMU ya ALLAH aku panjatkan atas kurniaan kehidupan sehingga aku menjadi seperti hari ini. Cuma kini aku sedang memikul amanah dari kedua orang tuaku untuk melihat aku berjaya suatu hari nanti. insyaALLAH…
Aku lebih suka hidup bersederhana. Bersyukur dengan apa yang ada cukup menyeronokkan. Terasa seronok dengan apa yang dilalui ketika kecil dahulu. Cukup indah dan begitu berharga.  Semoga kurniaan nikmat yang dianugerahakan pada kita tidak dikufuri lagi. Berusaha menjadi hamba yang soleh dan patuh padaNYA. Matlamat hidup dan tujuan hidup perlu jelas untuk menjadikan hidup kita bermakna….

Read more...

BERDUKA SATU KERUGIAN

>> 19 Mac 2010

Sempena bulan mulia, bulan kelahiran junjungan besar nabi kita Muhammad s.a.w pada 12 rabiul awal, PERMATA telah menganjurkan BULAN BIAH SOLEHAH selama sebulan. Tetapi ianya tidak lah bermaksud hanya sebulan untuk kita mantapkan diri dalam amal ibadat hanya kerana program sebulan. Satu pemikiran yang perlu dibersihkan dan dikemaskini semula. 

Program ini mengajak semua ahli PERMATA untuk sama-sama meningkatkan diri dengan keperibadian yang mulia dengan menjaga solat agar dapat dilaksanakan secara berjemaah di masjid mahupun surau yang berdekatan. Tetapi bukanlah "surau taqwa" yang dimaksudkan. Namun andai itu sahaja yang termampu apa kan daya. Namun masih boleh berusaha untuk melaksanakannya secara berjemaah di tempat yang dianjurkan oleh junjungan besar nabi kita s.a.w.

Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Dengan busana muslimah bagi akhawat, kuiz beserta qiamullail bagi syabab semuanya memberi sedikit kesan positif. Di masjid pula, nampak peningkatan ahli jemaah di masjid. Ada sedikit kesedaran yang dapat dicetuskan dalam setiap hati ahli. Akhawat pula sudah bersedia meninggalkan pakaian "adik-adik" mereka yang dibawa dari Malaysia. Tudung pula semuanya dari jenis yang mahal-mahal agar tidak menampakkan leher-leher mereka yang penuh mutiara. Syukur pada ilahi. Semoga ianya berterusan.Tahniah pada semua.

Namun pada semalam (malam penutup), dihidangkan pada semua ahli dengan forum yang bertajuk "Bercinta Hingga Ke Syurga". Bila sebut soal cinta apa yang berlaku? Biasa lah jiwa remaja. Semuanya berminat. Terpaksa diadakan secara live di PUSKMA. Kerana WISMA tidak dapat menampung kebanjiran hadirin yang begitu ramai. 

Forum yang dipanelkan oleh jemputan yang tidak asing lagi bagi mahasiswa mu'tah. Syeikhul Maqari Hj Othman Hamzah atau nama manjanya Abuya dan mahasiswa Phd Universiti Jordan yang banyak membantu dalam menaiktarafkan bahasa arab di kalangan mahasiswa iaitu ustazah Hasliza.

Pelbagai definisi dan penerangan diberikan, cerita-cerita yang dikongsi, nasihat-nasihat yang terbaik buat mereka yang ingin bercinta dan mengejar cinta sama ada ALLAH, RASUL mahupun manusia. Tip-tip yang diberikan amat baik untuk dipraktikkan.

Namun itu semua muqaadimah buat perkongsian kali ini. Ada satu cerita yang ingin dikongsikan bersama-sama sahabat sekalian. Ada satu hati yang usianya kini lebih kurang 25 tahun umurnya. Percintaan pada tuhanNYA. Pada kedua ibu bapa dipegang dengan patuh kepatuhan. (ni bukan Ketika Cinta Bertasbih ye).

Sering mengeluh letih dalam bercinta. Sudah beberapa kali cintanya terkandas. Tidak mampu mencapai kebahgiaan. Ada yang berkenan dihati, keluarga pula tidak setuju. Katanya sebab mempunyai sejarah hitam. Kadang-kadang kita sering merasakan kita adalah yang terbaik. Tidak memberi peluang kepada mereka untuk berubah. Sedangkan telah terbukti ramai yang mampu berubah setelah diberi hidayah. Malah lebih baik dari kita yang sering merasakan diri adalah yang terbaik.

Keji sana, kutuk sini, sindir situ, semuanya dilepaskan seolah-olah kitalah manusia yang paling mulia. Tidak dinafikan semua orang tua inginkan kebahagian buat anak-anak meraka. Cuma apa yang nak ditekankan di sini, berilah peluang pada mereka yang ingin berubah. Wanita ini merasakan sudah ada orang yang ingin padanya. Nak kata tidak lawa tidak juga. Menjaga aurat dan pergaulan walaupun bukan lah dari aliran agama. Mungkin lebih baik daripada mereka yang mendapat didikan agama tetapi... Tidak perlu diulas panjang. 

Dia mengeluh dan menyatakan begitu kerana sahabatnya yang satu sekolah dahulu semuanya sudah berkeluarga. Sama ada lelaki mahupun perempuan. Ini yang menyebabkan dia runsing. Ada yang datang merisik tetapi ditolak. Tolak bukan kerana nafsu, tetapi DIA yang takdirkan untuk menolak pinangan tersebut. Entah siapa gerangan yang DIA hendak di dianugerahkan padanya. Namun dalam perhatianku dia seorang wanita yang baik. Mungkin seorang ustaz, pegawai kerajaan, atau siapa yang akan meminangnya. Dalam firasatku dia akan mendapat calon suami yang terbaik. 

"Semoga ALLAH anugerahkan  suami yang soleh buatmu"

Cukuplah sedikit cerita yang tidak ingin dihurai panjang walaupun jika diteliti ceritanya begitu menarik. Kembali pada forum, sedikit perkongsian yang ditetakankan oleh panel. Antaranya budaya meninggikan harga mas kawin pada hari ini menyebabkan perkahwinan yang suci terpaksa dilewatkan. Apa yang menyebabkan mas kawin sehingga mencecah RM10000.00 dan sebagainya. Kita sebagai mahasiswa perlu memahamkan  ahli keluarga yang terdekat lebih-lebih lagi akhawat perlu mengubah budaya ini. Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan perkara ini. Katanya "aku ijazah, aku master, aku Phd" dan sebagainya. Ini pemikiran yang salah sama sekali.

Budaya yang tidak perlu dicontohi. Mahar merupakan perkara wajib dalam setiap pernikahan.
 “ Mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya ( setelah diamenjadi isteri kamu )maka berikanlah mereka maharnya ( ajr ) sebagai satu ketetepan yangdifardhu ( diwajibkan oleh Allah Taala )”  Nisa: 24
Namun Islam tidak menganjurkan untuk meninggikan mahar dan tidak juga terlalu rendah. Cukup lah dengan bersederhana.
" اعظم النساء برآة أيسرهن مؤنة "
Kebanyakan perempuan yang berkat perkahwinannya ialah yang mudah ( rendah ) tentang
perbelanjaan ( mahar ). ( Riwayat Ahmad dan al-Hakim )

Selain itu, pertunangan yang terlalu lama juga tidak berapa digalakkan. Ini adalah untuk menutup ruang-ruang syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan umat Muhammad s.a.w. Semua ini perlu diubah dan ditangani oleh mahasiswa-mahasiswa yang mungkin mendapat kefahaman tentang perkara tersebut. Apa guna kalau bertunang dalam masa yang lama seterusnya dalam tempoh masa tersebut banyak perkara yang diharamkan oleh syara' tidak dapat dielakkan. 

Selain itu juga, tidak usah lah untuk terlalu memilih. Jika cukup syarat yang ditetapkan oleh syara', maka terimalah dengan hati terbuka. InsyaALLAH DIA akan anugerahkan kebahagian yang hakiki. Seperti mana satu hadis yang masih terpahat di hati saya ketika mana saya dapat semasa menyiapkan tesis tentang "perkahwianan" semasa di Darul Quran dahulu. Hadis ini biasa digunakan oleh kaum adam untuk mematahkan hujah bakal ayah mertua(betul ke?). Mafhum hadis:

"apabila datang pinangan kepada kamu, mereka yang kamu reda akan agama dan akhlak mereka, maka kahwin lah, jika tidak akan berlaku kerosakan di buka bumi dan fitnah yang besar"

Di akhir, saya ada sedikit perkongsian buat muslimah yang mana masih mencari dan sedang mencari bakal suami yang diberikan oleh Abuya pada akhir forum. Amalkan tip-tip di bawah.
  1. Baca nama Allah (العالى) X 7000
  2. يا سامع X 500
  3. يوسف ayat 31
  4. الأحزاب ayat 69
  5. طه ayat 39
  6. البقرة ayat 165
  7. العمران ayat 134
  8. الأنعام ayat 122
  9. الاسرأ ayat 111 
Masa baca nama allah al'ali dan ya sami' tu niat lah apa yang dihajati. Diamalkan pada setiap selepas subuh dan asar.

Semoga kalian mendapat suami yang soleh. Selamat beramal...



Read more...

Kaca Dan Permata

>> 06 Mac 2010

Setelah selesai solat isyak, jari-jemari khusyuk meniti keyboard laptop. Masa hujung minggu ialah masa paling banyak dihabiskan membaca blog-blog sahabat, laman-laman ilmiah dan sebagainya. Namun yang peliknya mood hari ni kurang baik. Tidak tahu apa puncanya. Cepat nak marah. Emosi tidak stabil. Tidak tahu apa puncanya. 

Jam menunjukkan hampir pukul10.00 malam. Amir baru pulang ke rumah. Mungkin pergi ziarah sahabat-sahabat di hujung minggu. Terus menuju ke bilikku.

"mad, ana ada berita sedih ni.Sedih sangat. Sukar diterima. Kalau anta tau mesti anta sedih" 
"apa pulak mamat sorang ni" Sempat bermonolog.
"erm apa dia, bagitau la"

Aku paling bosan kalau orang cerita separuh jalan. Tapi kadang-kadang aku pun buat macam tu. Yang biasa jadi mangsa Khair la. Khairi maafkan ana ye. Nanti ana akan tunaikan janji ana dulu. 

"ana tak nak cite. anta akan tahu tak lama lagi"
"erm ayah kani ke?" sebab kani kata ayahnya kemalangan khamis lepas semasa perjalanannya ke Syiria. Harap-harap tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku. 

"bukan" Pendek sahaja jawapannya.

Aku meneruskan kerjaku. Malas bertanya banyak. Tapi yang peliknya banyak status YM yang pelik-pelik malam ni. FB pun sama. Macam ada sesuatu.
"benci!!!"
"tak sukanya"
"sampai hati buat macam ni"

Macam-macam lagi. Malas untuk bertanya apa yang berlaku. 

"Dat ada umah?" Tanya Moja melalui FB.
Yanag aku baca, "mad ada umah?". Jadi aku jawab la ada.

Beberapa minit kemudian moja dan ahli rumah naik beramai-ramai. 
"mana Datnya?"

Aku tertanya-tanya. Mana ada Dat di rumah. 

"dah tadi yang aku tanya ko jawab ada"

Aku serba salah. Betul ke apa yang aku jawab. Tengok semula apa yang ditanya. Ternyata aku tersalah membaca soalan. Mungkin banyak mengelamun dan sedikit gangguan otak. Terus capai handphone sony ericcson K810i yang dah agak nazak. 

"Dat, anta kat ner? ni ada orang nak jumpa anta ni ramai-ramai kat rumah ana"
"kat rumah Ayi ni. ok2 japgi Dat sampai"
"bape minit?"
"dalam 15minit macam tu"

Aku masih belum tahu ketika itu apa yang berlaku. Beberapa minit kemudian mesej dari abg Solihin sampai.

"Salam. abg Fudhail akan pulang ke Malaysia esok. Beliau akan bertolak pada jam6.30 pagi".

Hati menjadi sebak. Betulkah mesej yang aku dapat? Biar betul. Ini surprise atau apa? Mulut menjadi kaku. Tidak dapat berkata-kata lagi. Aku lebih banyak berdiam diri selepas berita itu.

Dalam pukul11 lebih juga baru Dat sampai. Ada yang sudah balik sebab lama sangat menunggu.  Menghabiskan masa bersama kami adik-adik DQ sehingga jam 12.15. Ada yang bertanya tentang masa depan, perancangan di Malaysia nanti dan sebagainya. Namun aku hanya mengambil keputusan untuk membisu. Tiada soalan yang diajukan. 


 
semasa Minggu Haluan Siswa 2006

Seterusnya aku dan Khairi menemaninya ke Rumah Batu Buruk. Bertemu sahabat-sahabat buat kali yang terakhir sebelum meninggalkan segala yang tersirat. Sehingga jam 1.00 pagi baru pulang ke rumahnya untuk mulakan sesi packing barang. Membantu sekadar yang mampu. Tetap dalam keadaan membisu. Tidak banyak bersuara. Sehingga 20minit sebelum subuh aku tewas. Walaupun Khairi sudah lama menyerah kalah. Terlelap juga seketika. Sebelum azan subuh dilaungkan, aku bangun semula. Terlelap dalam 10minit. Melihat Dat berbaring di atas sofa tanpa melelapkan mata. Tidak tahu apa yang difikirkan. Mungkin sedih untuk meninggalkan sahabat-sahabat. Namun keadaan sejadah pada malam hari sudah berubah keadaan. 

Mutiara kecil turun dari kelopak mataku. Inikah rahsia kejayaannya? Sesudah azan aku terus menunaikan solat subuh. Tidak terdaya untuk ke masjid. Badan rasa lemah. Berbaring di dalam bilik. Lagi sekali terlelap. Tersedar setelah mendengar berbualan talifon. Dat yang jawab. 

28/12/2009 dia berjaya akhirnya

Bangun, melihat sudah ada beberapa sahabat sudah berkunjung untuk pertemuan terakhir. 
"jom, Dat nak pegi ambik barang rumah akhawat. Nak ikut?"
"jom" tidak mampu untuk terus berkata. Hanya jawapan ringkas.

Bergerak ke rumah akhawat. Ambik makanan rupanya. Banyak betul rezeki. Itulah orang kata, "kalau berkawan dengan penjual minyak wangi, paling tidak akan melekat jugak sedikit bau itu".

Banyak sungguh rezeki dari semalam. Masyroom, nasi lemak, puding dan macam-macam. Mungkin itu tanda penghargaan mereka untuknya diatas segala pertolongan dan pengorbanan yang diberikan. Sebelum berpisah sempat disampaikan sedikit nasihat terakhir buat mereka.


 
dua insan yang menjemputku ketika menjejak kaki di bumi Jordan

Ya, inilah dua insan yang banyak berjasa kepadaku. Madah Ulum Quran, Ulum Hadis, Madkhal, banyak memberi tunjuk ajar. Kali pertama melihat muka Dat, tidak kusangka dia seperti yang aku kenal seperti hari ini. Begitu baik peribadinya, tingkah laku dan akhlak. Sehingga ramai yang seakan tidak dapat menerima hakikat pemergiannya. Namun itulah sunnatullah yang perlu diterima. Ramai yang ingin menghantar ke airport. Namun dihalang. 

"takyah la. simpan duit tu buat mengaji. lama lagi nak duduk disini"

antara yang hadir (itupun dalam rahsia)

Aku cuba dari semalam untuk meng"ego"kan air mata jantanku. Namun di saat pelukan terakhirku sebelum berpisah, ia terjatuh jua. Namun sehingga kini bila dikenangkannya manik-manik kecil dimataku akan terbentuk. Tidak dapat ditahan. Kata-kata akhirnya kepadaku akan kupasakkan dalam diri.


 
suapan terakhir buatmu kekanda

Inilah suapan terakhirku buatnya ketika jam 3.15 pagi. Berhenti seketika setelah penat mengemas barang. Nasi lemak tingkat 2 bagi. Memang sedap.

Pulanglah abangku ke tanah air menyebarkan segala ilmu di dadamu. Semoga hidupmu sentiasa diberkati.

"kuatkan semangat. perjalananmu baru nak bermula. andai terjatuh bangun balik. sesungguhnya tuhan tidak mengubah seorang melainkan dirinya sendiri mengubahnya"



Read more...

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP