SUSAH ITU NIKMAT

>> 30 Mac 2010

Kadang-kadang aku lebih suka menyepi dari bercakap. Bila aku menyepi, biasanya sahabat-sahabat akan kata aku ada masalah, tension, tidak sihat dah sebagainya. Sebabnya aku seorang yang banyak cakap. Betulhkah? Biarlah apa yang mereka mahu kata. Tetapi aku tetap masih seperti biasa. Tiada apa-apa masalah yang berlaku. Cuma bila menyepi akan ada beberapa perkara yang difikirkan. Sama ada tentang sahabat-sahabat, keluarga tercinta, cita-cita dan masa depan. Semuanya tersirat tanpa diluahkan. Banyak yang tersimpan, maka banyak jugalah yang hendak diluahkan.

Teringat seketika cerita-cerita sewaktu ayahku berusia belasan tahun. Allahyarham datukku meninggal ketika ayahku berusia 12tahun. Oleh kerana ayahku anak sulung, jadi dialah yang menggantikan tanggungjawab sebagai ayah kepada adik-adiknya. 3orang adiknya, 2orang lelaki dan seorang perempuan.

Dia terpaksa menamatkan pengajian untuk bersama ibunya bekerja mencari sedikit rezki bagi memastikan adik-adiknya dapat meneruskan pengajian seperti sahabat-sahabat lain. Dikatakan mereka lah bergelar “orang kaya” ketika itu. Kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Menoreh getah diwaktu pagi dan mengetam padi di waktu petang. Dengan pendapatan hanya berapa sen ketika itu. Zaman 60-an.

Semakin berusia semakin maju. Adik-adik semakin besar. Pakngah (no-2) tidak dapat meneruskan pengajian di pondok. Sebab ketika itu pakngah meminta wang dari nenek untuk membeli kitab-kitab pembelajaran di pondok. Namun kewangan yang terbatas menyebabkan nenek tidak menunaikan apa yang diminta. Ketika itu pakngah di tahun 3. Bila duit dah dikumpulkan sudah 3bulan pembelajaran bermula. Pakngah merajuk. Tidak mahu menerima wang itu.

“Orang lain dah ngaji banyak. Cek dah kena tinggal banyak. Orang dah belajaq sampai mana dah” Rajuk pakngah pada nenek.

Hanya linangan air mata yang mengalir di pipi nenek. Tidak dapat berbuat apa-apa dek kerana kehidupan yang serba kekurangan. Tamat riwayat hidup pakngah dalam perjuangan ilmu. Tidak dapat mencapai matlamat ingin menjadi seorang ulama.

Pakjang (no-3) lain pula ragamnya. Ayah dan pakngah sudah bekerja membantu keluarga. Tenaga yang bertambah mengurangkan sedikit kedaifan yang ada. Segala apa yang diperlukan semuanya dipenuhi. Namun kekurangan yang allah kurniakan tiada siapa yang meminta. Sudah 3tahun di pondok. Namun tidak dapat naik diperingkat seterusnya. Masih di kelas yang pertama. Malu pada kawan-kawan. Juga tidak berjaya menjadi ulama. Berhenti separuh jalan.

Maksu, anak ke-4 merupakan adik yang bongsu dari 7orang pada asalnya namun 3orang lagi allah lebih menyayangi mereka. Mereka pergi dahulu sebelum adik-adik dan abang-abang. Juga dibentuk di pondok agar menjadi pejuang agama Allah. Namun ketika umurnya 14tahun disunting oleh jejaka yang bergelar paksuku ketika ini. Nenek menerima lamaran tersebut kerana mungkin itu yang terbaik untuknya. Tiada yang berjaya mencapai cita-cita menjadi ulama.

Ayah menamatkan zaman bujang pada usia sama sepertiku ketika ini. 23tahun. Beza dengan mak 5tahun. Mak 18tahun ketika itu. Mengayuh basikal berjam-jam dari Baling untuk sampai ke rumah mak yang terletak di Kulim. Susahnya hidup zaman dahulu. Jalan tanah merah dan meredah hutan itu satu kebiasaan bagi mereka yang hidup di zaman itu.

Ayah mengumpul duit RM250, untuk membuka perniagaan. Membeli dan menjual getah beku secara kecil-kecilan. Berniaga secara amanah dan jujur akan menjadikan rezki menjadi berkat. Itu kunci kehidupan yang ayah selalu sebut pada abang-abangku. Kehidupan bertambah senang sedikit demi sedikit.  Masyarakat sudah berubah persepsi.

Kalau dahulu kata nenek, orang kampung memandang mereka sebelah mata. Keluarga miskin, tanpa suami dan anak-anak yang masih kecil. Namun ketabahan yang ada dalam meneruskan hidup, nenek tidak pernah meminta-minta pada sesiapa pun. Makan apa yanga ada. Erti syukur dalam kehidupan. Tidak perlu memilih. Tidak perlu mengeluh. Bersyukur dengan apa yang ada.

Aku sudah berusia 7 tahun. Hujung minggu ikut mak pergi kebun getah, mengutip getah beku untuk dijual. Setiap kali dijual, aku gembira kerana mak akan kurniakan aku RM1. Sebulan sudah dapat kumpul RM4. Bila ada jualan buku di sekolah aku boleh beli buku apa yang aku suka. Tanpa minta duit dari mak dan ayah. Aku sayang duit aku. Bila dah naik umur 8 tahun, mak sudah naikkan gaji aku. RM3 setiap kali kutip getah beku. Aku selalu berlumba dengan kakak. Siapa yang kutip banyak dia akan dapat lebih. Pandai mak perangkap kami. Ketika umur 11 tahun baru gaji naik RM5. Banyak bagi aku ketika itu.

Aku juga kagum pernah bekerja seperti nabi. Gembala kambing. Banyak kambing yang aku gembala. Asar aku lepas keluar kandang untuk diberi makan rumput. Sebelum maghrib masukkan semula dalam kandang. Setiap ekor yang dijual ayah akan bagi RM30 pada aku. Seronoknya pegang duit sebanyak itu di waktu kecil. Sebulan sekali ayah bawa pergi tabung haji. Duit disimpan. Selalu berlumba dengan kakak duit siapa paling banyak.

HANGER, TALI PINGGANG  ITU SATU TARBIAH

Tarbiah seorang ibu yang sayangkan anaknya. Itulah santapan aku dan kakak ketika malas menjagi al-quran dan ketika kami bergaduh. Setiap malam boleh dikatakan tidak sah kalau tidak dipukul. Salah sebut huruf, baca tanpa dengung di tempat yang dengung, perbezaan sa dengan sin. Semuanya diambil kira. Sesekali tersenyum bila mengimbau kenangan lama. Kami akan dipikul antara dua benda tersebut. Mana dahulu yang dicapai itulah yang digunakan untuk mentarbiah kami. Kebiasaannya aku yang kena paling banyak sebab aku lelaki.

Majoriti anak-anak  yang mendapat tarbiah dari tali pinggang dan hanger  dapat membaca al-quran dengan baik sejak berusia 8tahun. Cubitan mak yang sekali cubit meninggalkan kesan beberapa hari menyebabkan kami semua takut untuk malas mengaji.

Mak tidak pernah manjakan kami. Pergi sekolah bawak bekal nasi berlaukkan ikan masin, telur, ikan tamban dan sebaginya. Lebih jimat dari beli di kantin. Mak hanya bekalkan 80sen. 40sen untuk tambang, 10sen beli air ketika rehat setelah penat bermain dan bakinya kami akan masuk tabung. Kami sayang duit. Mak juga sayang duit. Sebab susah untuk dapatkan duit. Mak tidak pernah beli mainan. Kalau mainan biasanya ayah yang beli. Itu pun jarang-jarang. Kalau aku beli mainan, mak tidak akan ajak aku makan bersama ketika waktu makan.

“mamad mana, makan dakgi” Tanya kakak dan ayah. Kehidupan bersama 2orang abang agak kurang sebab mereka tinggal di asrama.
“tak payah ajak. Dia makan mainan pun dah kenyang” marah mak.

Kalau situasi ini berlaku biasanya aku tidak berani makan. Lepas semua dah habis makan aku akan senyap-senyap ke dapur. Kalau masih ada baki, itulah rezkiku. Kalau tiada, maka puasa lah aku seharian jawabnya. Lepas itu masuk bilik nangis sorang-sorang.

NIKMAT HIDUP SUSAH

Kebiasaan hidup begini menjadikan aku biasa dengan apa juga keadaan. Tidak melatah dengan setiap kesusahan yang datang. Aku bersyukur berpeluang hidup sebegini. Mengajarku erti tabah, kuat dan bersyukur dengan apa yang ada.
Teringat aku ketika program bakti huffaz semasa menuntut di Darul Quran dahulu. Program anak angkat di Felda Gua Musang. Seminggu berkampung ditempat orang. Kadang-kadang ikut mak angkat ke kebun. Banyak nyamuk. Teringat waktu kecil dahulu. Namun sudah biasa. Tiada masalah. Pacat. Sudah biasa. Aku orang kampung. Seronok jadi orang kampung.

Melihat gelagat seorang sahabat yang berasal dari golongan  yang selesa menyebabkan mereka tidak dapat biasakan diri. Makan kena yang sedap-sedap. Bilik kena ada kipas. Ubat nyamuk wajib pasang walaupun nyamuk hanya seekor  ketika tidur diwaktu malam.

KURNIAAN YANG PERLU DISYUKURI

Kehidupan kini berubah. Hidup kami agak sedikit senang walaupun tidaklah sesenang orang lain. Tetapi cukup untuk beli apa yang diingini. Orang kampung sudah tidak pandang serong lagi. Malam kini ayah menjadi seperti bank pula. Ayah tidak pernah kedekut. Dia masih ingat asal-usulnya. Juga dari golongan yang susah. Bersedia membantu pada siapa yang memerlukan selagi punyai kemampuan.

Namun ayah kadang-kadang melahirkan rasa sedih. Ada yang suka meminjam. Tetapi tidak suka membayar semula. Ayah tidak pernah meminta. Namun semuanya tercatat siapa yang meminjam. Seperti mana yang allah tegaskan dalam surah al-baqarah ayat 282 bagi peminjam dan pemberi pinjam untuk mencatat.

Ayah pernah kata, kalau semua orang bayar, ayah kena keluarkan zakat simpanan tidak kurang rm####.##. Namun ayah hanya menyepi. Ada yang sudah bercucu dan sebagainya.

SYUKUR PADAMU TUHAN

Cukup aku ditarbiah dengan kesusahan hidup suatu ketika dulu. Jadi mungkin satu keadilan seandainya ayah dikurniakan sedikit kesenangan untuk dikongsi bersama anak-anak. Namun semua itu tidak sedikit pun melupakan aku pada kehidupan dalam kesusahan. Aku masih boleh tenang  andai diuji dengan kesusahan. Syukur padaMU ya ALLAH aku panjatkan atas kurniaan kehidupan sehingga aku menjadi seperti hari ini. Cuma kini aku sedang memikul amanah dari kedua orang tuaku untuk melihat aku berjaya suatu hari nanti. insyaALLAH…
Aku lebih suka hidup bersederhana. Bersyukur dengan apa yang ada cukup menyeronokkan. Terasa seronok dengan apa yang dilalui ketika kecil dahulu. Cukup indah dan begitu berharga.  Semoga kurniaan nikmat yang dianugerahakan pada kita tidak dikufuri lagi. Berusaha menjadi hamba yang soleh dan patuh padaNYA. Matlamat hidup dan tujuan hidup perlu jelas untuk menjadikan hidup kita bermakna….

8 comments:

abdul rahim Mac 30, 2010 6:11 PG  

salam'alaikum.masyallah,kurniaan itu itu brlaku pd nta.ia ilmu yg jarang didapati.ia juga adalah knangan manis.smoga Allah selalu mendampingi nta serta sekeluarga.amin..

faqir ilmu Mac 30, 2010 12:30 PTG  

Ya Salamu alaik..mengalirkn air mata saat membacanya, sungguh,,tarbiyyah dari kesusahan itu berkesan..semoga Allah merahmati sekeluarga..insya Allah,,ulama' in progress..('',)

Sayangibu Mac 31, 2010 8:16 PG  

ana bersyukur allah bagi peluang untuk ana jadi orang susah suatu ketika dulu. semoga semua dapat jadi yang terbaik...

tehr Mac 31, 2010 11:11 PTG  

susah atau senang adalah peringatan untuk kita - sama sahaja

sha-na.szied April 03, 2010 12:07 PG  

salam ziarah, baguslah..
semoga kesusahan itu menjadi peransang untuk maju n berjaya nanti..

pelangii April 05, 2010 12:51 PTG  

salam ziarah..
betul3x, tarbiyyah dgn kesusahan ada hikmahnya..smg ALLAH permudahkan segala urusan kt semua di dnia & akhirat.. amiin..

banana tree,  Jun 03, 2010 12:33 PG  

suka post ni..barakallahufik

Silent of sound Februari 23, 2011 1:04 PG  

lawaknya...kesusahan hang umpama sebutir pasir ditengah gurun...dan rasanya hang mst xpernah rasa bagaimana rasanya terpaksa mengutip sisa makanan dlm tong sampah semata-mata ingin mengalas perut...pity on you dude

Catat Ulasan

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP