BERKATA BENAR DAN JANGAN MENYEMBUNYIKAN ILMU

>> 25 Mei 2010

(satu catatan pengalaman dakwah)


Saya bukan seorang "ustaz" dan agak "rimas' jika seseorang memanggil saya "ustaz".

Namun begitu keterlibatan dalam dakwah menyebabkan saya tidak boleh lari bercakap tentang ilmu-ilmu Islam. Saya yakin dengan ilmu saya dan menyebarkan.

Kisahnya juga di Bumi Kenyalang, saya dan sahabat-sahabat "ustaz" (guru agama dan pendidikan Islam) memang cukup erat dan disatukan atas satu wadah Jawatankuasa Usrah dan Dakwah JPB Sibu.

Melalui badan inilah saya dan rakan-rakan menjalankan aktiviti-aktiviti tarbiyyah dan dakwah. Walaupun saya bukan "ustaz" saya diterima baik oleh kawan-kawan yang memanggil saya serta menggolongkan saya juga "ustaz".

Program yang tidak dapat saya lupakan ialah Forum Imam al-Ghazali. Forum itu tertutup (hanya ustaz dan rata-rata orang Semenanjung) dan diadakan tempat rekreasi yang menarik.

Antara tujuan porum tersebut ialah melihat peranan dan sumbangan Imam al-Ghazali dalam bidang pendidikan. Setiap ahli panel menyoroti sejarah kehidupan Imam al-Ghazali dan falsafah serta pemikiran beliau. Saya mendapat banyak ilmu daripada forum tersebut.

Satu hal yang mengejutkan, seorang ahli panel forum daripada JAKIM ketika ditanya oleh peserta tentang dilema guru dalam mendidik iaitu tangan guru mendidik tetapi banyak tangan-tangan dalam masyarakat meruntuhkan terutamanya peranan TV dan pihak-pihak lain. Jawapan yang diberikan cukup mengecewakan iaitu jika kita tak mahu tengok TV1, tengok TV 2 atau pilihlah TV yang lain.

Saya bangun meminta penjelasan kerana dalam hal-hal maksiat dan mungkar kita tidak mempunyai pilihan, kena cegah. Saya memetik kata-kata Imam al Ghazali yang kira-kira maksudnya "Agama itu asas, dan pemerintah itu pengawal. Barang yang tiada asas akan runtuh dan barang yang tiada pengawal akan sia-sia".

Saya berhujah kerana segala program dalam masyarakat sekarang ini tidak bersendikan agama, maka didikan kita begitu mudah diruntuhkan dan peranan pengawal tiada menyebabkan tugas mendidik sia-sia sahaja.

Daripada program itu, saya mengenali seseorang yang takut untuk menyatakan kebenaran ilmu kerana kepentingan tertentu dan individu begini menjadi bualan orang dan mengundang tidak respect kepadanya. Apabila disyorkan nama beiau untuk jadi ahli panel seterusnya ramai yang menggeleng kepala tidak mahu dan tidak bersetuju.

Pokoknya, berkata benarlah walaupun pahit kerana kebenaran yang pahit itu "ubat". Hati akan tertarik kepada setiap kebenaran dan sesiapa yang lidahnya mengungkapkan.

Semasa berdakwah, fikir dan nyatakan kebenaran dahulu kerana hati-hati milik Allah, bukan milik kita. Jangan fikir dengan mengenepikan kebenaran dan mengikut selera manusia, manusia akan mengikuti kita.

Hati manusia tidak akan bersatu atas kebatilan. Menawan hati mestilah dengan kebenaran Ilahi.

Selamat berdakwah.
Cg Nazeli.

0 comments:

Catat Ulasan

  © Blogger template Webnolia by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP